Friday, September 12, 2008

Tahukah anda?

Siri 1: Tahukah Anda?
Binatang Berpuasa Pada Hari Asyura'?

As Syafie dan An Nasyiri
mengatakan bahawa sebahagian binatang
juga berpuasa pada hari Asyura'.

Ada seorang bernama Fatah bin Syukruf. Dia sangat suka memberi makan kepada semut setiap hari dengan roti yang dipotong kecil-kecil.Tetapi apabila tiba waktu hari Asyura' ia mendapati semut-semut itu tidak mahu makan roti tersebut.

Pengajaran
Kalau semut boleh berpuasa pada hari tersebut,
malulah kita kalau tidak berpuasa =)


Siri 2: Tahukah Anda?
Sudut Sirah: Hijrah

Kenapa Saidina Umar Bin Al Khattab memilih tarikh hijrahnya nabi saw. dari Mekah ke
Madinah sebagai tarikh permulaan tahun Islam?

Kenapa tidak diambil sempena peristiwa tentera bergajah?
Kenapa tidak peristiwa perkahwinan nabi dengan Khadijah atau Aisyah dan lain-lain peristiwa?

Jawapannya
Oleh kerana hijrahnya nabi saw. dari Mekah ke Madinah merupakan titik tolak
kepada zaman keagungan dan kegemilangan umat Islam, maka sebab itulah saidina Umar
memilih tarikh tersebut supaya umat Islam mengkaji dan meneliti, kenapa generasi sahabat merupakan generasi contoh dan gemilang.

Pengajaran:
Kita meraikan kedatangan awal tahun hijrah, dengan memperingati zaman
keagungan dan kegemilangan Islam, tetapi kenapa kita berada di dalam keadaan
hina dan tidak gemilang???


Siri 3: Tahukah Anda?
Takbir

Pada setiap kali tibanya hari raya Aidil Fitri dan Aidil Adha kita diminta mengingati
peristiwa pererangan Ahzab di dalam takbir yang bermaksud
"Sesungguhnya Allah telah menghancurkan tenteraAhzab dengan Esanya."

Persoalannya
Bukankah hari raya hari bergembira dan bersuka ria,kenapa kita harus memperingati peristiwa peperangan yang menyayatkan hati? Kenapa tidak disebut peristiwa-peristiwa manis seperti cerita perkahwinan rasulullah dengan Aishah
dan lain-lain?

Pengajaran
Allah swt. meminta umatNya bergembira dan bersuka ria pada hari raya, tetapi Allah
memberi peringatan kepada umatNya, walaupun sedang bergembira mereka tidak
bopleh lupa, bahawa nun di sana orang-orang yang tidak sukakan Islam, tanpa mengira
pegangan aqidah, bangsa, keturunan akan bersatu menentang Islam sebagaimana
bersatunya mereka di dalam peperangan Ahzab.


Siri 4: TAHUKAH ANDA?
Kenapa Dinamakan Air Zam-Zam

Setelah air memancut keluar daripada bumi,hasil daripada hentakan tapak kaki Nabi Allah Ismail A.S yang masih bayi itu, lalu ibunya, Siti Hajar cepat-cepat membatas air tersebut sambil menyebut perkataan "Zam-Zam" supaya air tidak mengalir
keluar. Jadi makna (Zam-Zam) ialah "batas-batas".


Siri 5: Tahukah Anda?
Peristiwa Hijrah

Di dalam peristiwa hijrahQuraisy telah menawarkan hadiah sebanyak 100ekor unta kepada sesiapa yang dapat menangkap danmenyerahkan Rasulullah s.a.w kepada mereka samada hidup atau mati.Jika seekor unta sekarang berharga RM 3000,00,
betapa mahalnya nilai hadiah yang ditawarkan?

Siri 6: Tahukah Anda?
kualiti dalam islam

Islam amat
mengambil berat supaya umatnya berkualiti, sehingga kadang-kadang perhitungan dan perkiraan didasarkan kepada kualiti dan bukannya kuantiti semata-mata.

Sebagai contoh:

1. Sesungguhnya orang Alim yang tidur lebih baik daripada orang jahil yang beribadat (Al-Hadith)
2. Sedikit yang berterusan lebih baik daripada banyak yang terputus-putus
(Al-Hadith)
3. Sesungguhnya Allah amat menyukai hambaNya,yang apabila melakukan sesuatu kerja,
dilakukannya dengan tekun (berkualiti)
(Al-Hadith)


Siri 7: Tahukah Anda?
4 Bulan Haram

Sesungguhnya zaman ini berputar seperti keadaannya di hari Allah menjadikan langit dan bumi, satu tahun ialah 12 bulan, empat bulan adalah bulan haram, tiga bulan berturut-berturut iaitu Zulkaedah, Zulhujjah dan Muharram serta satu bulan di
antara bulan Jamad dan bulan Syaban iaitu Rejab.


Siri 8: Tahukah Anda?
Buraq

lebih selesa daripada Mercedes Benz 600 SL

Buraq merupakan sejenis binatang yang saiznyapanjang dan berwarna putih, lebih kecil daripadaKeldai, selangkah kakinya sejauh mata memandang.Kelajuan dan kepantasan perjalanannya seperti kilat.Apabila menaiki bukit, kaki belakangnya menjadi panjang dan kaki depannya menjadi pendek dan apabila menuruni curam, kaki depannya menjadi
panjang dan kaki belakangnya menjadi pendek.Dua telinganya sentiasa bergerak-gerak dan ia mempunyai dua sayap. Keadaan ini memberi keselesaan kepada penunggangnya tidak bergegar dan tidak bergoyang serta tidak terumbang ambing, sekalipun perjalanannya amat jauh ia sentiasa berada dalam keadaan nyaman.

Pengajaran
Siapa nak lebih selesa jual kereta Mercedes beli Buraq,
lagipun boleh jimat minyak dan tak payah bayar Road Tax.
Dekat mana nak dapatkan Buraq?
Senang saja, baca kisah Isra' dan Mi'raj jumpalah dia.
.....Selamat membaca buku sirah....
I

Siri 9: Tahukah Anda?
Sudut Aqidah

Mengikut kaedah perkiraan ilmu Matematik 6+1=7 dan 6-1=5.
Tetapi perkiraan Matematik mengikut kaedah ilmu Tauhid
berlainan dengan kaedah di atas.
Di dalam ilmu Tauhid 6-1=0 dan 6+1=0.
Kenapa Mesti Begitu???

Penerangan
Rukun Iman ada 6 perkara, sesiapa yang menolak salah satu daripadanya,
bermakna imannya kosong (tidak beriman) dan begitu juga kalau dia
menambah rukun tersebut dia telah dianggap menambah rukun iman,
juga dia akan termasuk di kalangan orang yang tidak beriman.

Agak-agak lepas ni..
boleh jadi guru Matematik tak????

Siri 10: Tahukah Anda?
Sudut feqah

Waktu yang paling singkat bagi haid seorang wanita ialah selama satu hari satu malam. Namun, tempohpusingan biasa haid adalah di antara tujuh atau lapan hari sahaja. Adapun waktu haid paling panjang adalah selama 15 hari 15 malam.
Sekiranya masih terdapat darah keluar selepas tempoh di atas, ia dinamakan sebagai darah "al Istihadah" iaitu darah penyakit.

Pengajaran
Maklumat ini penting diketahui oleh kaum lelaki
terutamanya para suami
agar....
TIDAK TERTIPU!!!!!!

Siri 11: Tahukah Anda?
Pekerja Sebagai Mujahid

Anggota pekerja yang menjaga batas-batas Allah, pekerjaan dan tidak melakukan pengkhianatan terhadap tugasnya diberi penghormatan oleh Allah sebagai "Mujahid" yang
berjuang untuk menegak agamanya.

Sabda Nabi s.a.w:

Anggota pekerja yang ditugaskan dengan sesuatu tugas,lalu dia mengambil dan memberi hak-hak (tugas tersebut),dia akan dikira sebagai mujahid di jalan Allah sehingga dia pulang ke rumahnya,(Hadith riwayat Abu Hurairah)

Pengajaran
Suasana kegawatan Ekonomi, kadang-kadang menyebabkan bones,
elaun atau gaji dipotong, tetapi bersyukurlah Allah tidak
pernah memotong pahala kerja sebagai ibadah.
Sekalipun dalam suasana gawat.
Syukur....Syukur...Ya Allah!!!


Siri 12: Tahukah anda?
Teknik Menuntut Ilmu

Ulama' Islam telah menggariskan cara terbaik yang seharusnya
kita lakukan dalam usaha menuntut Ilmu.

Bacalah apa yang terbaik daripada
apa yang engkau dapati

Tulislah apa yang terbaik daripada
apa yang telah dibaca

Hafallah apa yang terbaik daripada
apa yang telah ditulis

Pengajaran
Sebenarnya sistem 3M ini telah lama diperkenalkan oleh Islam dan cara
inilah yang seharusnya dikembalikan dan diamalkan bagi pendidikan
diri kita dan juga anak-anak.
Ingat...!!
Tidak semua buku mesti dibaca..!!
Buku yang terbaik saja...tau
Gila-Gila.....
Tak Payah lah.....
Nanti jadi gila..ketawa seorang diri hehe

SIRI 13:TAHUKAH ANDA?
Persoalan Di Hari Qiamat

Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Setiap hamba di hari qiamat, tidak akan dapat mengorak langkah
menuju ke mana-mana, selagi dia belum selesai disoal
siasat tentang 4 perkara:

(a)Tentang umurnya, di manakah dihabiskan (semasa di dunia)?
(b)Tentang masa remajanya, bagaimana dia menghabiskannya?
(c)Tentang harta, dari mana diperolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?
(d)Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu?
I
Pengajaran
Bagaimana nak jawab kalau kita bergelumang
dengan amalan yang Allah murkai?
Astaghfirullah.....(Aku minta ampun daripada Allah)

SIRI 14: TAHUKAH ANDA?
Sudut Muhasabah

Rasulullah bersabda:
Tidak lurus iman seseorang hamba itu,sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.Hadith riwayat daripada Anas

Saidina Umar r.a berkata:
Sesiapa yang banyak percakapannya,maka banyaklah salahnya dan orang yang banyak salahnya, maka banyaklah dosanya,dan orang yang banyak dosanya,
maka neraka adalah lebih layak baginya.

Pengajaran
Kita digalakkan bercakap perkara yang baik-baik dan diminta diam daripada perkara yang tidak baik terutama sekali di Rumah Allah(Masjid).

SIRI 15: TAHUKAH ANDA?
Melantik Orang Yang Paling Layak

Perlantikan bagi sesuatu jawatan merupakan amanah kepada pemimpin. Pelantikan mestilah kepada orang yang paling layak memikulnya.

Sabda Nabi saw:
Sesiapa yang melantik seseorang sebagai pegawainya untuk urusan umat Islam, sedangkan di kalangan umat itu ada orang yang lebih diredhai oleh Allah darinya, maka dia sudah mengkhianati Allah, RasulNya dan juga Orang Mukmin.
(Hadith riwayat Hakim)

SIRI 16: TAHUKAH ANDA?
Sudut Muhasabah

Sabda Nabi s.a.w:
"Apabila engkau bermaksud menyebut 'aib orang lain, maka sebutkanlah
'aib diri mu sendiri". (Hadith Riwayat Rafi'i)

Keterangan
'Aib adalah kecacatan atau sesuatu yang tidak baik yang ada pada
diri seseorang. Kita ditegah daripada menyatakan 'aib orang lain,
padahal kita sendiri pun tidak terlepas daripada yang demikian.
Jangan seperti kata pribahasa, Kuman nun di seberang laut nampak,
Gajah di depan mata tak nampak...

SIRI 17: TAHUKAH ANDA?
Sudut Sirah

(A)Lelaki dewasa pertama masuk Islam selepas rasulullah ialah Abu Bakar As Siddiq.
(B)Wanita pertama masuk Islam ialah saidatina Khadijah binti Kwailid.
(C)Remaja pertama masuk Islam ialah saidina Ali bin Abi Talib.
(D)Unta Rasulullah bernama Al Qaswa'
(E)Satu-satunya sahabat yang disebut namanya di dalam al quran iaitu Zaid bin Harithah

Siri 18: Tahukah Anda?
Sudut Sirah

Khadijah Lebih Dicintai

Pada suatu hari Saidatina Aishah, berdailog dengan nabi s.a.w. apabila beliau mendengar rasulullah selalu menyebut-nyebut nama Khadijah, sedangkan dia telah meninggal dunia.

Aishah:
Ya rasulallah!, kenapakah engkau sentiasa menyebut-nyebut nama Khadijah sedangkan ia telah tiada.Tidakkah aku lebih engkau cintai daripadanya? dan tidak kah aku satu-satunya yang engkau kahwini ketika aku masih dara?

Rasulullah:
Ya Aishah! Aku mencintai Khadijah lebih daripada yang lain
berdasarkan 4 sebab:

(1)Dia beriman kepadaku ketika seluruh manusia kufur kepada Allah.
(2)Dia membantu perjuanganku dengan hartanya, ketika manusia memberi penentangan yang hebat terhadapku.
(3)Ketika isteriku yang lain tidak dikurniakan anak, kesemua anakku (yang ada) adalah hasil daripada perkongsianku dengannya.
(4)Ya Aishah! sepatutnya Khadijah lebih bertuah daripada kamu, kerana Khadijah mengahwiniku ketika aku masih dara, tetapi tidak kamu.

Siri 19: Tahukah Anda?
Pengertian Ibadah

Ibadah
Berasal dari perkataan Arab yang merangkumi makna patuh, taat setia, tunduk, sembah, merendah diri, hinadan memperhambakan diri kepada sesuatu.

Dari segi syara'
ia bermakna patuh,taat setia, tunduk kepada semua perintah Allah dalam segala tindakan, baik dari yang sekecil-kecilnya kepada sebesar-besarnya serta
tidak terkeluar dari syari'at Allah dalam bentuk zahir mahu pun batin.

Abu A'la Al Maududi
mengatakan, ibadah itu ialah kemuncak tunduk atau tunduk sepenuhnya
kepada Allah.

Siri 20: Tahukah Anda?
Sudut(Sirah + Tafsir)

a)Penghulu orang mati syahid,Saidina Hamzah bin Abd. Muttalib
b)Pembunuh Hamzah ialah Wahshi yang diupah oleh Hindun
c)Satu-satunya surah yang tidak dimulakan dengan "Bismillah.." ialah surah At Taubah
d)Surah yang memberi isyarat "Kewafatan Atau Ucapan Selamat Tinggal Allah Terhadap Nabinya"ialah surah Al Nasr
e)Surah yang di ambil sempena nama sejenis logam ialah surah Al Hadid
f)Perempuan yang pertama syahidah dalam Islam ialah Sumaiyyah isteri Yasir
g)Sahabat yang diberi penghormatan menerima pedang Rasulullah di dalam peperangan
Uhud ialah ........?????
Tahukah anda?
Silalah jawab.

Siri 21: Tahukah Anda?
Lalat Pembawa Racun & Penawar

Sabda Nabi s.a.w:
Apabila seekor lalat jatuh dalam bekas air salah seorang daripada kamu, hendaklah dia menenggelamkannya, kerana pada salah satu sayapnya terdapat penyakit,
manakala pada sayap satu lagi terdapat penawarnya.
(Hadith Shahih Riwayat Imam Bukhari)

Rawatan Penyakit Melalui Lalat

Pada 30 tahun pertama kurun ini, rawatan patah tulang (Multiple Fracture) dan luka dalam, dengan menggunakan lalat, malah lalat dibela khusus untuk tujuan itu.
Rawatan ini berdasarkan penemuan virus patogenit yang membunuh kuman di mana lalat itu mengandungi kuman yang menyebabkan penyakit dan pada masa yang sama virus
yang membunuh kuman itu. Terhentinya penyelidikan mengenai rawatan luka
dengan lalat, bukan disebabkan kegagalan cara rawatan ini, tetapi kerana penemuan sebatian sulfur yang lebih menarik perhatian saintis.

(Kalau rasa tak berapa yakin buka buku Fatwa Semasa oleh Yusuf Qardawi Jilid 1, Bab lalat)

Siri 22: Tahukah anda?
Ayat-Ayat Sajadah

Di dalam Al Quran, terdapat ayat-ayat yang apabila membacanya, kita disunatkan melakukan sujud tilawah (sujud sajadah) yg ada tnda cam masjid tu...
Tapi masa sujud nak baca apa ya...?

Firman Allah Taalabermaksud:
"Tanyalah orang yang lebih mengetahui, jika sekiranya engkau tidak mengetahuinya".
(Surah An Nahl Ayat: 43)

Siri 23: Tahukah Anda?
Membaca Al Quran

(A)Rasulullah pernah berpesan kepada Abu Zar ra:
"Hendaklah kamu membaca al Quran, kerana al Quran itu cahaya bagimu di dunia dan tabungan (pelaburan) bagimu di langit (akhirat kelak).(Hadith Riwayat Ibnu Hibban)
(B)Rasulullah juga bersabda:
"Barang siapa mendengar al Quran,
beliau akan dianugerahkan pahala yang berlipat ganda.Orang yang membacanya diberikan cahayadi hari qiamat"(Hadith Riwayat Abu Hurairah)
(C)Sabdanya lagi:
"Sesungguhnya al Quran ini ialah hidangan Allah,terimalah hidangan-Nya seberapa yang mampu,Sesungguhnya ia merupakan tali Allah,cahaya yang terang dan penawar yang bermanfaat,pelindung bagi yang berpegang kepadanya,keselamatan bagi yang
mengikutnya....(Al Hadith)

Siri 24: Tahukah Anda?
(Sudut Sirah)
Maulidurrasul

Pagi Isnin, 12 Rabi'ul Awal,Aminah binti Wahab telah melahirkan Nabi Muhammad s.a.w. di kawasan Bani Hasyim di Mekah.

Tiga peristiwa besar berlaku pada hari kelahirannya:

(a)Api yang disembah oleh orang-orang Majusi di Negara Parsi padam, sedangkan ianya tidak pernah padam di dalam sejarah penyembahannya.
(B)Lapan buah gereja yang terletak di tepi pantai Buhaira' telah roboh dipukul gelombang
(C)14 batang Salib yang tersergam gagah di Kota Parsi telah jatuh dan patah.
(Buku Sirah Rahiq Makhtum)

Siri 25: Tahukah Anda?
Sudut Kualiti
(Ummah Berkualiti)

Allah swt memberi penghormatan kepada orang-orang yang beriman sebagai ummah terbaik
melalui firmannya yang bermaksud:

"Kamu adalah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan di kalangan manusia,
jika kamu menyuruh melakukan kebaikan, mencegah kemungkaran dan kamu
beriman kepada Allah".(Surah Ali Imran ayat 110)

(Doa Kualiti)
Allah mengajar kita supaya berdoa meminta kebaikan dan kecemerlangan bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat:

"Wahai Tuhan kami, kurniakanlahkepada kami, kebaikan (kecemerlangan)
di dunia ini dan kebaikan (kecemerlangan)juga di akhirat nanti dan selamatkanlah
kami daripada azab apineraka".(Surah Al Baqarah ayat 201)

Kesimpulan
Sebagai manusia yang lemah, kita perlu sentiasa ingat bahawa tiada jalan pintas untuk mencapai kehidupan yang berkualiti. Ianya datang dari ilmu, amalan yang berterusan, ikhlas dan diiringi dengan rahmat Allah.

Siri 26: Tahukah Anda?
Kelebihan Membaca Al Quran

(a)Firman Allah Taala:
"Sesungguhnya orang-orang yang membaca Kitab Allah dan mendirikan sembahyang serta
membelanjakan daripada apa yang kami kurniakan kepadanya secara rahsia mahupun secara terang, mereka itulah orang yang mengharapkan perniagaan yang tidak
akan merugikan". (Surah Fatir Ayat: 29)
(b)Abu Umamah Al Bahili berkata: Aku dengar Rasulullah saw bersabda:
"Bacalah olehmu akan al Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari
qiamat untuk memberi syafa'at kepada tuannya". (Hadith Riwayat Muslim)
(c)Othman bin Affan berkata: Sabda Rasulullah saw:
"Sebaik-sebaik kamu ialah orang yang belajar al Quran dan
mengajarnya".(Hadith Riwayat Bukhari)
(d)Sabda Nabi saw:
Barang siapa membaca satu huruf daripada kitab Allah, maka baginya satu kebaikan, dan satu kebaikan akandigandakan sepuluh seumpamanya. Aku tidak kata "Alif, Lam, Mim" itu satu huruf, tetapi "alif" satu huruf, "lam" satu huruf dan "mim" satu huruf.
(Hadith Riwayat Termizi)

Pengajarannya
Marilah kita berusaha membaca dan membudayakan al Quran

Siri 27: Tahukah Anda?
Sempena Maulidurrasul "Keturunan Dua Penyembelihan"

Nabi saw. pernah bersabda yang
bermaksud:
"Aku merupakan keturunan kepada dua penyembelihan"
Penyembelihan yang pertama:
Iaitu penyembelihan yang dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim terhadap anaknya Ismail" kerana nabi Muhammad adalah daripada keturunan nabi Ismail.
Penyembelihan kedua:
Peristiwa penyembelihan Abd. Muttalib terhadap anaknya Abdullah (ayah kepada
nabi Muhammad), apabila dia bernazar jika dikurniakan 10 orang anak,
maka akan dikorbankan salah seorang untuk dipersembahkan kepada berhala. Setelah undian dibuat akhirnya undian jatuh kepada ayah nabi Muhammad iaitu Abdullah.
Apabila Abd. Muttalib berusaha melaksanakan niatnya, maka seluruh
kaum keluarganya membantah dan meminta supaya dibuat penebusan. Akhirnya Abdullah
bin Abd Muttalib ditebus dengan 100 ekor unta.

Siri 28: Tahukah Anda?
Maulidur Rasul

Pertengahan Tahun Ke 5
Kenabian
(Bulan Zulhijjah)

Berlaku 4 peristiwa besar dalam
tempoh 4 minggu
(1)Islamnya Hamzah bin Abd. Muttalib
(2)Selepas tiga hari islamnya Hamzah, diikuti olehUmar bin Al Khattab
(3)Nabi Muhammad menolak tawaran Quraish untuk memberi pangkat, harta, kedudukan dan lain-lain
(4)Abu Talib telah memanggil seluruh Bani Hashim untuk berjanji setia bagi mempertahankan Rasulullah.

Siri 29: Tahukah Anda?
Kelebihan Membaca Al Quran

Bahagian:(II)
(a)Rasulullah s.a.w. pernah berpesan kepada Abu Dzar r.a:
"Hendaklah kamu membaca al Quran, kerana al Quran itu cahaya bagimu di
dunia dan tabungan (pelaburan) bagimu di langit (akhirat kelak). (Hadith riwayat Ibnu Hibban)
(b)Rasulullah juga bersabda:
"Barangsiapa mendengar al Quran, beliau diberikan pahala yang berlipat ganda.
Orang yang membacanya diberi cahaya di hari qiamat".
(Hadith riwayat Abu Hurairah)
(c)Sabda Nabi s.a.w:
"Sesungguhnya al Quran ini ialah hidangan dari Allah, terimalah hidanganNya
seberapa yang mampu. Sesungguhnya al Quran ini tali Allah, cahaya yang terang dan penawar yang bermanafaat, pelindung bagi yang berpegang kepadanya, keselamatan
bagi yang mengikutnya".(Al Hadith)

Siri 30: Tahukah Anda?
Kelebihan Bekerja

(a)(Mendapat Keampunan)
Sabda Nabi saw...
"Sesiapa yang menghabiskan masa petangnya dalam keletihan akibat daripada
pekerjaan yang dijalankan oleh tangannya sendiri maka ia akan diberi keampunan".
(b)(Tangan Disayangi)
Baginda saw. pernah mengucup tangan salah seorang sahabat yang bengkak kerana penat
bekerja, sambil bersabda:
"Inilah tangan yang disayangi oleh Allah dan rasulNya"
(c)(Pahala Sedekah)
Sabda Nabi saw:
"Tanaman dan buah-buahan yang dimakan oleh manusia,burung atau binatang
diberi, pahala kepada tuannya"

Siri 31: Tahukah Anda?
Takbur?

(Menyombong diri)
Para sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah saw. mengenai orang yang
berpakaian cantik, bersepatu baik dan rambut bersisir kemas. Adakah mereka digelar orang yang takbur?
Nabi bersabda:
"Bahawa ini bukanlah takbur dan sesungguhnya Allah itu cantik dan Allah
menyukai sesuatu yang cantik".

Semangat ini telahpun dipraktikkan oleh Hassan Al Basri, seorang ulama'
tabi'en yang terkenal.

Pada suatu hari beliau memakai pakaian yang cantik dan kemas dianggarkan 4000
dirham. Apabila tindakannya itu ditegur oleh rakannya yang bernama Farqad As
Subki, beliau menjawab:
"Wahai Farqad!
Bukan kelembutan dan kehalusan pakaian ku ini menjauhkan diriku dari Allah, dan bukan pula kasarnya pakaian mu itu, akan mendekatkan dirimu kepada Allah".

(Kesimpulan)
Islam amat menggalakkan hambanya, sentiasa berada di dalam keadaan bersih, kemas,
cantik, berharta dan tidak melarat yang akan menyusahkan orang lain.
Yang penting kelebihan tersebut tidak menjadikan kita sombong dan lalai dari menunaikan tanggungjawab terhadap Allah dan Masyarakat.

Siri 32: Tahukah Anda?
(Galakan Bekerja)

Umar Al Khattab memberi galakan kepada para sahabatnya supaya bekerja untuk
mencari rezeki, tidak terkecuali golongan ulama' yang menghafaz al Quran (qurra'), katanya:

"Sesungguhnya apabila saya tertarik dengan seseorang, saya bertanya mengenainya:
Adakah dia mempunyai pekerjaan? Kalau mereka menjawab: Tidak! Maka jatuhlah
nilainya pada pandangan saya".

"Hai para qurra': carilah rezeki, jangan kamu menjadi bebanan kepada orang lain!"

Selamat Bekerja

Siri 33: Tahukah Anda?
Waqaf Di Dalam Islam

(SIRI 1)
Definisi Waqaf
Di dalam al Quran dan Hadith tidak terdapat perkataan Waqaf.
Walau bagaimanapun konsep waqaf dapat difahami melalui
perkataan "kebajikan" yang disebut di dalam al Quran dan
"sedekah jariah" dalam Hadith.

Waqaf dari segi bahasa membawa makna "menegah/membeku" atau "menahan".

Menurut istilah syara', waqaf bererti menahan harta dan memberikan manfaatnya ke jalan Allah

Dr. Mohammad Al Ahmadi Abu Al Nur
(Bekas Menteri Waqaf Mesir)
"Waqaf adalah harta atau hartanah yang ditahan oleh pemiliknya sekira-kira dapat menghalang penggunaannya dengan dijual ataupun dibeli atau diberikan sebagai pemberian dengan syarat dibelanjakan faedahnya atau keuntungannya atau
hasil mahsulnya kepada orang yang ditentukan oleh pewaqaf "


Siri 34: Tahukah Anda?
"Kelebihan Kefahaman"

(a)Kefahaman Membawa Kebaikan
Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang dikehendaki Allah mendapat kebaikan, maka akan diberikan kepadanya kefahaman agama-Nya"
(b)Kefahaman Membawa Ketinggian
Sabda Nabi saw:
"Mereka yang terbaik di masa jahiliyyah, maka merekalah yang terbaik di masa Islam, apabila memiliki kefahaman (agama)."
(c)Kefahaman Mesti Diutamakan
Al Imam Hassan Al Bannaketika menggariskan 10 rukun baiah,yang pertama sekali mengikut susunannya ialah"Al Fahmu" (Kefahaman) kemudian barulah diikuti dengan "Al Ikhlas" (Keikhlasan).
(d)Keutamaan Kefahaman Ke Atas Semata-Mata Hafalan
Prof. Dr. Yusuf Al Qardhawi
menyebut di dalam buku "Fiqh Keutamaan": Islam mengkehendaki kaum Muslimin memahami dan mengerti ajaran-ajarannya, bukan setakat mempelajarinya secara sambil
lewa tanpa pengertian yang benar.(dengan menghafal semata-mata).

Siri 35: Tahukah Anda?
Keutamaan Kualiti Ke Atas Kuantiti

Keutamaan pada perspektif Shari'at Islam ialah mendahulukan
kualiti ke atas kuantiti dan jumlah. Jumlah bilangan yang banyak
dan besar bukanlah menjadi suatu ukuran, akan tetapi kebaikan
itu diukur mengikut mutu dan kualitinya
(A)Sabda Nabi saw:
"Seorang Mukmin yang kuat lebih disukai dan disayangi Allah daripada seorang
Mukmin yang lemah."
(Hadith riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a)
(B)Rasulullah saw. bersabda:
"Sesungguhnya Allah Taala telah mewajibkan al ihsan (kesempurnaan) dalam segala sesuatu. Apabila kamu melaksanakan (hukum) bunuh, maka lakukanlah dengan sempurna(teliti). Jika kamu menyembelih (haiwan), kerjakanlah
dengan sempurna (dan teliti). Tajamkanlah mata pedangmu sehingga sembelihan kamu
tidak merasa sakit (pedih) (Hadith riwayat Imam Muslim dari Shadad Ibn Aus r.a.)
(C)Sabda Nabi saw:
Sesiapa yang membunuh cicak dengan sekali pukul, maka ia akan
mendapat ganjaran seratus kebaikan, dan yang dengan duakali, maka
mendapat ganjaran yang kurang dan yang tiga kali, maka mendapat
ganjaran yang lebih sedikit lagi."
(Hadith riwayat Imam Muslim, Ahmad bin Hanbal, Abu Daud,
Al Tirmizi dan Ibn Majah)

Pengajaran
Apabila sesuatu perbuatan itu tidak dapat dinilai semata-mat kerana banyaknya, demikian juga umur seseorang manusia tidak hanya dinilai kerana panjangnya. Berapa ramai orang yang dianugerahkan umur yang panjang namun tidak ada keberkatan dalam hidupnya, tetapi berapa ramai mereka yang berumur sederhana, namun seluruh
hidupnya telah diisi dengan pelbagai amal kebajikan dan kerja-kerja yang
berfaedah.

Siri 36 : Tahukah Anda?
Sudut Aqidah
Nabi Terakhir

Nabi Muhammad saw merupakan nabi yang terakhir.
Tidak ada lagi nabi selepas daripadanya.

Sabda Nabi saw:
Aku dan Para Anbiya' sebelumku, ibarat satu
bangunan yang dibina oleh seorang laki-laki.
Lalu ia membinanya dengan baik dan dipercantikkannya,
kecuali pada tempat
sekeping batu-bata pada suatu sudut. Maka
orang ramai datang mengelilinginya dan
kagum melihat dan berkata mengapa tidak
diletakkan seketul batu-bata di tempat yang
kosong itu, maka akulah batu-bata itu dan
akulah penyudah segala Nabi.
(Hadith Riwayat Bukhari Dan Muslim)

Siri 37: Tahukah Anda?
Gerhana Bulan & Matahari

Rasulullah saw dikurniakan
anak lelaki bernama Ibrahim hasil perkongsian hidup
dengan Mariah Al Qibtiyyah. Tetapi taqdir Allah menentukan bahawa umurnya tidak panjang.
Rasulullah dan para sahabat bersedih di atas apa yang berlaku.

Gerhana

Secara kebetulan pada hari kematian Ibrahim berlaku gerhana bulan dan matahari.
Orang ramai berkata:
Telah gerhana bulan dan matahari kerana bersedih atas kematian Ibrahim.

Rasulullah lalu bersabda:
Sesungguhnya bulan dan matahari merupakan tanda-tanda kekuasaan Allah. Gerhana yang berlaku bukan disebabkan (bersedih) di atas suatukematian ataupun kehidupan.

BUKTI
Al Imam Muslim meriwayatkan di dalam bab Gerhana Bulan Dan Matahari bahawa
Ahli Falaq terkenal, almarhum Mahmud Basya berkata:

"Aku telah membuat perkiraan yang terperinci bahawa matahari telah gerhana hampir sepenuhnya di Madinah pada pukul 8.30 pagi bersamaan 27 Januari 632M
bersamaan 29 Syawal 10H." (Rujukan: Kitab Sirah An Nabawiyyah oleh Abu Hasan Ali An Nadawi m/s 416)

Siri 38: Tahukah Anda?
Gerhana Matahari

Adalah dimaklumkan bahawa Insya Allah Gerhana Matahari akan berlaku
seperti berikut:

Tarikh:
29 Rabiul Awal 1419 (Sabtu) (22 Ogos 1998)
Jenis Gerhana: Gerhana Matahari Cincin (Separa)

Masa Mula:
7.11 Pagi

Masa Maksima:
8.22 Pagi

Masa Tamat:
9.48 Pagi

Altitut Ketika Maksima:
18

Peratus Matahari Dilindungi Bulan:
94%

Marilah
kita sama-sama menunaikan solat
sunat Gerhana ini

CARA
SOLAT GERHANA

Sembahyang sunat gerhana adalah sunat muakkad bagi lelaki dan perempuan

Lebih afdhal dilakukan secara berjamaah sekalipun boleh dilakukan bersendirian.

Jumhur ulama' mengatakan solat ini dilakukan dua rakaat, dan disetiap rakaat dua kali ruku' kemudian diikuti dengan khutbah selesai.

Rakaat Pertama
Berdiri, kemudian niat sembahyang.
Lafaz Niat:
"Sahaja aku sembahyang sunat gerhana (matahari) dua rakaat ..
(Imaman/makmuman) kerana Allah Taala"
Membaca al Fatihah dan surah kemudian ruku' selepasnya
I'tidal dan berdiri bagi kali kedua
Membaca al Fatihah dan surah, kemudian ruku' selepasnya.
I'tidal dan berdiri dengan Thoma'ninah.
Sujud yang pertama, duduk antara dua sujud dan sujud yang kedua
Bangkit dari sujud untuk rakaat kedua.

Rakaat Kedua
Berdiri kali pertama selepas bangkit daripada sujud.
Membaca al Fatihah dan surah kemudian ruku' selepasnya
I'tidal dan berdiri bagi kali kedua
Membaca al Fatihah dan surah kemudian ruku' selepasnya
I'tidal dan berdiri Thoma'ninah
Sujud yang pertama, duduk antara dua sujud dan sujud yang kedua
Membaca Tahiyyat kemudian memberi salam
Khutbah
Doa

Selamat Menunaikan Solat...

Siri 39: Tahukah Anda?
Sujud Tilawah

Di dalam al Quran
banyak ayat-ayat yang menuntut kita
melakukan "Sujud Tilawah".

(Seperti
di dalam Siri 21: Tahukah Anda?)

Tidak ramai yang
mengetahui atau menghafal bacaannya.
Untuk manfaat bersama disertakan
bacaan tersebut:



Siri 40: Tahukah Anda?
Hikmat Penciptaan Allah

Setiap penciptaan Allah mempunyai hikmatnya yang tersendiri sama
ada kita mengetahui hikmatnya ataupun tidak!

Serangkap syair berbunyi:
"Betapa banyak bagi Allah rahsia yang tersembunyi,
begitu mendalam sehingga tersembunyi daripada fahaman orang bijak."

Diceritakan bahawa seorang
lelaki dan anaknya berada di bawah sepohon tamar di dalam kebun. Anaknya terfikir untuk berdebat dengan ayahnya lalu berkata:

"Wahai ayahku, lihatlah kepada perbezaan yang berada di hadapan kita.
Di manakan hikmat yang ayah sebutkan kepadaku dulu bahawa
Allah Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui? Lihatlah kepada pokok tembikai yang kecil ini, buahnya begitu besar sekali. Sebaliknya pokok tamar yang besar dan tinggi ini, buahnya begitu kecil jika dibandingkan dengan buah tembikai. Mengikut
logiknya, buah tamar mestilah sebesar buah tembikai sesuai dengan pokoknya
yang besar. Lalu si ayah berkata kepada anaknya,

"Wahai anakku, moga-moga di sisi Allah terdapat suatu hikmah yang kita tidak ketahui."

Kemudian kedua-duanya merebahkan badan untuk berehat.Ketika si anak hampir melelapkan
matanya, sebiji buah tamar jatuh menimpa mukanya, lalu dia menjerit kesakitan. Si ayah bertanya: "Kenapa?" Jawap anaknya, "sebiji tamar jatuh dan menimpa saya. Lalu bapanya berkata, "Wahai anakku, bersyukurlah kepada Allah kerana ia tidak sebesar buah tembikai." Sesungguhnya manusia lemah untuk mencapai (memahami)
kesemua hikmat kejadian Allah SWT. Apa yang termampu difikirkan
ialah sebagaimana yang diucapkan oleh malaikat dalam surah
Al-Baqarah: 32

"Maha Suci Engkau Ya Allah, Tidak Ada Ilmu Bagi Kami Kecuali Apa Yang Engkau Ajarkan
Kepada Kami. Sesungguhnya Engkau Maha Mengetahui dan Maha Bijaksana."
(Fatwa masa kini Dr Yusof Al-Qardawi Jilid: 1, m/s:328)

Siri 41: Tahukah Anda?
Umar Bin Abdul Aziz

Pada suatu malam Umar bin Al Khattab keluar
untuk melihat suasana rakyatnya. Apabila sampai di sebuah rumah, Umar
terdengar suatu dialog di antara seorang ibu dan anak
perempuannya.

Ibu:
Wahai anakku! campurkan air ke dalam susu.

Anak:
Apakah ibu tidak mendengarlarangan Amirul Mukminin (Umar bin Al Khattab)
melarang dicampurkan susu dengan air?

Ibu:
Di mana Amirul Mukminin? Dia tidak melihat kita.

Anak:
Subhanallah! Sekalipun Amirul Mukminin tidak melihat kita,
tetapi Tuhan Amirul Mukminin melihat kita.

Umar Al Khattab,
merasa taa'jud terhadap akhlak dan agama yang dimiliki anak tersebut.
Umar lalu meletakan sedikit tanda pada rumah itu.&
Sebaik sahaja sampai di rumahnya Umar bertanya: Ada sesiapa di kalangan kamu yang ingin berkahwin?

Anaknya A'sim menjawab: Saya, wahai ayahku.
Umar pun pergi meminang anak penjual susu tersebut
Tahukah anda?
Daripada keluarga mukmin
dan mukminah inilah, lahirnya manusia yang membawa keadilan di dalam
pemerintahannya iaitu Umar Bin Abdul Aziz
(Sirah Umar Bin Abd. Aziz. oleh Ahmad Isa A'syur m/s: 308)

Siri 42: Tahukah Anda?
Kualiti Kesihatan dalam Islam


Siri43: Tahukah Anda?



Fatihah dan Selawat Sifa' Mengikut sebuah hadith dari Abu Said Al Khudri, surah al Fatihah boleh digunakan bagi mengubati pesakit yang tersengat binatang, iaitu dengan
membacanya sebanyak tujuh kali, kemudian ditiup tempat gigitan tujuh kali.
Dari peristiwa yang berlaku di dalam sirah, para sahabat nabi telah berjaya mengubati ketua suatu qabilah yang digigit ular (dengan izin Allah) melalui bacaan surah al fatihah.

Dari peristiwa tersebut, kita memahami bahawa al fatihah
itu boleh digunakan sebagai penawar bisa.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
"Fatihatul Kitab (Surah Al Fatihah) itu adalah ubat bagi segala penyakit."
Untuk Penawar:
tidak kira penyakit apa, bacaannya ialah Al Fatihah dan Selawat Sifa'
|
Rujukan:
Rawatan Pesakit Menurut Al Quran Dan As Sunnah
oleh Prof. Dr. Haron Din m/s 34-37

Siri44: Tahukah Anda?
Pembedahan Dada

Pembedahan dada
yang dilakukan oleh Malaikat Jibril as. terhadap Nabi Muhammad saw. berlaku sebanyak
dua kali.

Pertama:
Ketika baginda berumur empat tahun semasa baginda dibela oleh Halimatul Saadiah.

Kedua:
Berlaku di Masjidil Haram sebelum berlakunya peristiwa Isra' dan Mikraj.

Siri45: Tahukah Anda?
Bulan Allah

Sabda Nabi saw:

Bulan Rejab Bulan Allah Bulan Sya'ban Bulanku Bulan Ramadhan Bulan Umatku
(Al Hadith)

Kelebihan Beribadat Bulan Rejab

Sabda Nabi saw yang bermaksud:
"Barangsiapa yang berpuasa 3 hari dan beribadat pada malamnya seolah-olah
dia berpuasa 3,000 tahun. Bersembahyang pada malamnya diampunkan 70 dosa, ditunaikan 70 hajat di saat di dalam kuburnya, 70 hajat pada hari kiamat, 70 hajat di saat ditimbang pada Mizan dan 70 hajat pada Sirat."
(Al Hadith)

Siri46: Tahukah Anda?
Peniaga Berjaya

Allah swt. memberi penghormatan kepada peniaga yang jujur dan amanah di dalam
perniagaannya dengan dibangkitkan di tempatkan bersama para
nabi dan siddiqin (orang-orang yang benar) dan orang yang mati
syahid.





p/s: smoga perkongsian ini memberi manfaat pd anda =)

No comments:

Post a Comment